Pengarah Program Podium, Tim Newenham, menyasarkan Malaysia di kedudukan 10 terbaik dalam Sukan Komanwel Gold Coast, 4 hingga 15 April ini, berdasarkan prestasi semasa atlet yang berada di bawah naungan program berprestasi tinggi itu.

Selepas Program Podium ditubuhkan pada 2015, temasya Gold Coast 2018 menjadi medan ujian kali pertama untuk menilai sama ada program itu berjaya mencapai sasaran atau sebaliknya.

Kejayaan di pentas dunia membabitkan atlet negara tahun lalu seperti Azizulhasni Awang bagi sukan berbasikal dan Cheong Jun Hoong untuk sukan terjun sudah cukup untuk menilai sejauh mana keberkesanan program itu.

Bagaimanapun, segalanya akan dinilai di Gold Coast kerana Newenham yakin Malaysia mampu menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik.

"Program kami menyasarkan untuk berada dalam kelompok 10 terbaik, jadi sukar untuk bercakap mengenai pesaing lain kerana kami tidak tahu sejauh mana kemampuan mereka. Kami akan cuba mengekalkan kedudukan 10 teratas itu.

"Persaingan kini berbeza, melibatkan 70 negara, jadi ia menjadi perebutan di peringkat tertinggi.

"Kami harus berada di tahap terbaik untuk meraih pingat emas," kata Newenham.

Kurang 120 atlet daripada Program Podium bakal beraksi dalam Sukan Komanwel dan jelas sekali, atlet sukan terjun, berbasikal dan badminton antara yang diletakkan harapan untuk menghadirkan emas buat negara.

"Jika kami menamakan atlet yang menjadi sasaran untuk meraih emas, ia tentu memberi tekanan kepada mereka.

"Kami mahu mereka bersiap sedia dan beraksi di sana. Sasaran utama adalah 10 negara terbaik."

Empat tahun lalu, Malaysia menamatkan kempen di Glasgow, Scotland, di kedudukan ke-12 menerusi enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa tanpa sebarang program berprestasi tinggi seperti Program Podium.

Pecahan senarai sukan yang melibatkan 178 atlet negara:

Terjun: 13
Renang: 5
Olahraga: 13
Badminton: 10
Berbasikal: 13
Gimnastik artistik: 6
Gimnastik beirama: 3
Boling padang: 10
Boling tenpin: 9
Skuasy: 9
Ping pong: 7
Triatlon: 2
Bola keranjang: 12
Hoki lelaki: 18
Hoki wanita: 18
Ragbi: 12
Angkat berat: 10
Atlet para: 8