Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, mahu segera terbang ke Sydney bagi menjalani latihan di bawah kendalian Alex Stewart sebagai persediaan terakhir sebelum Sukan Komanwel Gold Coast, dari 4 hingga 15 April nanti.

Senarai rasmi, kontinjen olahraga negara ke Gold Coast diumumkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam, lantas membuka peluang buat atlet berpengalaman itu untuk membuktikan kemampuannya buat kali kedua dalam temasya itu selepas kali pertama tampil di New Delhi, lapan tahun lalu.

Biarpun agak terlewat, masih ada ruang buatnya meningkatkan prestasi di bawah tunjuk ajar Stewart dengan syarat Majlis Sukan Negara (MSN) segera menghantarnya menjalani latihan di sana.

Dalam menunggu keputusan MOM itu, Hup Wei sekadar menjalani latihan bersendirian sementara seorang lagi wakil lompat tinggi negara, Nauraj Singh, sudah menjalani latihan bersama Stewart sejak Januari lalu.

"Saya memang berharap dapat menyertai pasukan bersama Alex Stewart kerana latihan di sana lebih fokus.

"Semua teknik dan corak latihan di sana lebih lengkap," kata Hup Wei.

Hup Wei mencipta kejutan apabila memecah rekod peribadinya sejak 10 tahun lalu dengan catatan baru, 2.28 meter.

Dia berazam untuk sekali lagi mencipta rekod baru dan ketika ini menjalani latihan dengan ketinggian 2.35m sebagai penanda aras semasa berlatih.

"Kalau saya bersaing dengan rakan sepasukan dalam Sukan Komanwel nanti, saya akan memberikan semangat kepada mereka untuk mencapai prestasi lebih tinggi kerana kami adalah wakil Malaysia.

"Kami akan bersaing sesama kami," katanya lagi.