"Lupakan gelaran juara dunia, fokus aksi terbaik,, itu yang menjadi keutamaan penerjun sensasi negara, Cheong Jun Hoong, yang enggan dibayangi gelaran juara dunia dalam Sukan Komanwel Gold Coast yang boleh menggugat tahap keyakinannya.

Jun Hoong menyedari tumpuan lebih terarah kepadanya di Gold Coast dengan gelaran juara dunia 2017.

Dengan kecederaan belakang yang pernah dialami sebelum ini, adalah lebih baik untuknya fokus kepada prestasi semasa dengan mengharapkan tiada lagi kesakitan menghantuinya sewaktu beraksi nanti.

Jelas pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 ini, apa yang ditampilkan sewaktu Kejohanan Dunia di Budapest tahun lalu mungkin akan berbeza dengan apa yang bakal ditempuhnya di Gold Coast, bergantung kepada tahap kecergasannya.

"Saingan juara dunia sudah berakhir, tumpuan saya adalah mahu memberikan yang terbaik di Gold Coast," kata Jun Hoong.

Skuad terjun negara menerima lawatan daripada chef-de-mission (CDM) negara ke Sukan Komanwel Gold Coast, Huang Ying How, hari ini yang menyifatkan barisan penerjun begitu komited walaupun kini dibimbing oleh jurulatih baru, Yang Zhukun dan Christian Brooker.

"Saya sangat berpuas hati dengan latihan yang dijalankan oleh jurulatih baru. Saya mahu melihat mereka menampilkan persembahan yang cemerlang," katanya.