Atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi, bakal menggunakan strategi baru dengan 16 langkah larian yang merupakan jalan terbaik untuk melepasi lompatan hingga 5.40 meter sebagai sasaran barunya dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Rekod kebangsaan baru 5.31 meter yang dicatatnya dalam Kejohanan Olahraga All Comers Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini masih lagi bukan prestasi kemuncak Iskandar sedangkan dia percaya mampu melakukan lebih baik lagi di Gold Coast nanti.

Tetapi, strategi berbeza harus dilakukan dengan menggunakan 16 langkah larian sekiranya ingin melepasi had ketinggian yang lebih tinggi sehingga 5.40 meter.

Setakat ini, pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2017 itu hanya melakukan 14 langkah dalam sesi latihan sehingga berjaya mencatat 5.31 meter dalam kejohanan dan positif mampu mengatasi paras yang lebih tinggi jika mampu membiasakan diri dengan 16 langkah dalam masa tiga minggu ini.

"Buat masa ini, saya menggunakan 14 langkah untuk melakukan catatan ini. Di Gold Coast nanti, saya akan menggunakan 16 langkah untuk melakukan lompatan yang lebih baik," kata Iskandar.

Tidak menjadi satu masalah kepada Iskandar apabila mengharungi persiapan berbeza tahun ini selepas tidak ke luar negara menjelang Sukan Komanwel berbanding persediaan Sukan SEA 2017 apabila di hantar ke Formia, Itali selama sebulan.

"Selepas pulang dari Itali, saya memberikan tumpuan berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN), ia sudah memadai buat saya untuk menghadapi Sukan Komanwel," katanya.