Pelari pecut 100m wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, pastinya hampa sebaik menyedari namanya tiada dalam senarai terbaru 12 atlet yang akan ke Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April ini.

Zaidatul mengelak untuk ditemubual wartawan, namun masih meneruskan sesi latihan harian seperti biasa selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan senarai baru itu.

Sudah pasti kehampaan Zaidatul tidak mampu diluahkan dengan kata-kata ketika ketua jurulatih skuad olahraga negara, Zainal Abas, mempunyai keyakinan bahawa peluang atlet itu mungkin kembali terbuka.

"Buat masa ini, saya fikir MOM dalam proses untuk merangka atau melihat jumlah atlet daripada sukan-sukan lain juga.

"Dalam penilaian nanti, kita akan tahu sama ada wujud ruang terbuka untuk Zaidatul menyertai temasya itu," katanya.

Difahamkan, Zaidatul akan mengisi kekosongan atlet sukan lain sekiranya ada yang terlibat dengan kecederaan yang memaksa mereka menarik diri daripada ke temasya itu.

Nama Zaidatul terkeluar daripada senarai 12 atlet selepas senarai baru menampilkan atlet berpengalaman, Lee Hup Wei, yang layak secara merit bagi acara lompat tinggi.

"Buat masa ini, kami menunggu pengesahan daripada MOM, sama ada dia akan disenaraikan ataupun tidak.

"Buat masa ini, kami masih berharap MOM memberi lampu hijau untuk Zaidatul bersama pasukan.

"Segala persiapan daripada segi mengisi borang pendaftaran semuanya kami telah lakukan," kata Zainal lagi.

Atlet elit negara sedang membuat persiapan terbaik ketika tirai temasya itu tinggal 34 hari saja lagi dan bertekad memperbaiki pungutan enam emas di Scotland, empat tahun lalu.