Atlet renang negara, Welson Sim, percaya dia dalam keadaan yang cukup baik dalam misi memecah rekod peribadi dalam Sukan Komanwel Gold Coast.

Welson mengetuai skuad renang negara yang turut dibarisi empat lagi atlet dengan dia sendiri akan bakal beraksi dalam empat acara.

Dia hampir memecahkan rekod kebangsaan acara 200 meter gaya bebas pada Kejohanan Jemputan Peringkat Umur Kebangsaan tempoh hari, lantas berasakan peluangnya untuk terus memperbaiki catatan lebih baik di Gold Coast nanti.

Tiada sebarang sasaran pingat disandarkan dalam acara renang dengan kali terakhir emas diperoleh menerusi Alex Lim Keng Liat pada edisi Manchester 2002.

"Saya masih berdepan tekanan tinggi.

"Saya harap dapat mengatasi catatan terbaik peribadi, seterusnya layak ke final.

"Kami menyertai Kejohanan Jemputan Peringkat Umur Kebangsaan dua minggu lalu dan saya menghampiri catatan terbaik (1:48.25s), ia catatan yang memuaskan.

"Saya harap dapat memberikan renangan terbaik dan temasya Gold Coast pasti menjadi kejohanan yang menarik," katanya.

Skuad renang negara berlepas ke Gold Coast semalam bersama-sama dua atlet gimrama, Koi Sie Yan serta Amy Kwan, di samping gandingan berbasikal para, Afiq Afify Rizan dan Khairul Adha Rasol.

"Untuk acara pecut, saya akan cuba berjuang untuk mendapatkan medal.

"Saya harap dapat menebus kekecewaan dalam Sukan Olimpik Rio 2016, sedikit kesilapan menyebabkan saya mengakhiri perlumbaan di tempat kelima," ujar Afiq.

Sementara itu, menurut gimnas negara, Sie Yan: "Kami dalam keadaan terbaik, kami telah menjalani persiapan yang rapi.

"Kami mempunyai peluang untuk meraih sesuatu di sana."

Seorang lagi atlet gimrama, Izzah Azman akan berlepas pada 6 April ini kerana masih menjalani rawatan berikutan kecederaan ringan.