Skuad gimnastik artistik wanita meratapi kehilangan gimnas berpengalaman, Tracie Ang, yang terpaksa digugurkan pada saat-saat akhir ke Sukan Komanwel 2018 Gold Coast kerana kecederaan lama dan akan digantikan dengan atlet muda, Geanie Ng Ee Ling.

Keputusan itu dibuat Jumaat lalu atas nasihat Institut Sukan Negara (ISN) yang mendapati kesan pembedahan bagi merawati kecederaan bahagian pinggang Tracie, masih belum sembuh sepenuhnya.

Menurut jurulatih, Ng Shu Wai, demi memastikan karier Tracie tidak terjejas serta fokusnya dalam Sukan Asia 2018 pada Ogos, mereka bersetuju memilih Geanie sebagai pengganti.

Pemilihan itu tampak berisiko tinggi memandangkan atlet berusia 17 tahun itu tidak pernah merasai pengalaman beraksi di pentas antarabangsa mahupun Sukan SEA.

"Selepas mengadakan perbincangan dengan doktor, dia terpaksa membatalkan niatnya untuk bertanding dalam Sukan Komanwel.

"Kami enggan terlalu memberi tekanan kepadanya. Ini kerana dia merupakan gimnas utama negara dalam kejohanan besar seperti Sukan Asia 2018 dan Sukan SEA 2019.

"Kami merehatkannya dan tempatnya akan digantikan dengan gimnas muda, Geanie.

"Janice baru setahun dinaikkan pangkat ke peringkat senior, dia belum pernah menyertai mana-mana kejohanan besar," kata Shu Wai.

Sementara itu, Geanie mengakui dia masih tidak percaya sehingga hari ini bahawa dia akan ke Gold Coast pada saat akhir.

Dia mengakui cukup berdebar sambil mengharapkan atlet senior seperti Farah Ann Abdul Hadi dan Tan Ing Yueh mampu membantunya terutama dalam aspek kekuatan mental.

"Saya rasa bimbang sebab saya tidak pernah menyertai kejohanan besar. Saya bimbang kalau aksi saya menjejaskan pasukan.

"Apapun, saya akan sentiasa merujuk kepada mereka agar dapat meredakan kebimbangan yang wujud," kata Geanie.