Pemain skuasy lelaki utama negara, Mohd Nafiizwan Adnan, sedia menyahut cabaran Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang mahukan atlet di bawah Program Podium membawa pulang pingat daripada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Malah, atlet berusia 31 tahun itu yakin skuasy mampu menyumbang pingat buat kontinjen negara, tidak kira sama ada menerusi pemain senior ataupun pemain muda, berdasarkan persiapan rapi yang telah dilakukan oleh semua pemain.

Dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen di Kementerian Belia dan Sukan semalam, Khairy dalam ucapannya menegaskan agar atlet di bawah Program Podium harus membawa pulang pingat dalam misi kontinjen negara berada dalam kelompok 10 negara terbaik dalam temasya empat tahun sekali itu.

"Saya ambil kata-kata menteri semalam sebagai satu cabaran agar kita akan lebih tenang ketika menghadapi pertandingan kelak. Sudah tentu, secara peribadi, saya sendiri mempunyai impian untuk membawa pulang pingat. Saya sasarkan dapat mara ke separuh akhir dan dari situ, saya akan lalui cabaran satu persatu.

"Pemain-pemain lain, sama ada yang senior ataupun pemain muda, mereka juga mempunyai impian yang sama untuk menghasilkan pingat buat negara.

"Sebab itu kami sama-sama berlatih bersungguh-sungguh secara intensif, dari pagi hingga malam, komited dengan semua perancangan yang diatur seperti latihan di gimnasium, program pemulihan dan juga melihat analisis video," katanya dalam sidang media persediaan atlet Podium ke Sukan Komanwel 2018, hari ini.

Mohd Nafiizwan yang diletakkan sebagai pemain pilihan ke-12 kejohanan, meniti laluan mudah selepas mendapat 'bye' dalam pusingan pertama sebelum dicabar sama ada pemain New Zealand, Evan Williams, atau Jacob Kelly dari Cayman Islands dalam pusingan kedua.

Selain beraksi dalam acara perseorangan, Mohd Nafiizwan juga akan bergandingan dengan seorang lagi pemain perseorangan negara, Ivan Yuen, dalam acara beregu lelaki bersama-sama satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Ng Eain Yow-Mohd Syafiq Kamal.

Dalam pada itu, Mohd Nafiizwan berkata peluang untuk meraih pingat dalam acara beregu lebih terbuka berbanding acara perseorangan, namun ia bergantung kepada persiapan dan kekuatan mental pemain ketika hari pertandingan.

Sementara itu, jurulatih skuasy negara, Peter Genever, berkata ratu skuasy negara yang kini menduduki ranking kelapan dunia, Datuk Nicol David, masih menjadi sandaran untuk menyumbang pingat buat kontinjen negara.

Atlet kelahiran Pulau Pinang itu, yang diletakkan selaku pilihan ketiga dalam acara perseorangan wanita, mendapat 'bye' dalam pusingan pertama sebelum berdepan sama ada Colette Sultana dari Malta atau Samantha Hennings dari Cayman Islands.

"Saya percaya Nicol akan sumbangkan sesuatu untuk negara. Sekarang, dia sedang giat membuat persiapan dan telah berada di Gold Coast sejak 13 Mac, menjalani latihan komprehensif dengan jurulatihnya, Liz Irving. Dia tidak bersabar untuk menghadapi Sukan Komanwel.

“Sebenarnya, kami menyasarkan untuk merangkul dua pingat sekiranya semua berjalan lancar semasa hari pertandingan,” kata Genever.

Pemain muda, S. Sivasangari, yang diletakkan sebagai pilihan ke-12 dan pemain bukan pilihan, Aifa Azman, turut meraih kelebihan selepas masing-masing mendapat 'bye' dalam pusingan pertama, namun mereka perlu berdepan cabaran pemain Scotland kerana dijadualkan bertemu Alison Thomson dan Lisa Aitken dalam pusingan kedua.

Untuk rekod, dalam Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, skuad Malaysia hanya meraih satu pingat emas menerusi Nicol dalam acara perseorangan wanita manakala pada edisi 2010 di New Delhi, Nicol memenangi emas acara perseorangan wanita dan gangsa dalam kategori beregu campuran selepas bergandingan dengan Ong Beng Hee.

-- BERNAMA