Selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, skuad olahraga negara kini berazam untuk mencipta kejayaan lebih bermakna di pentas lebih tinggi, Sukan Komanwel Gold Coast, dari 4 hingga 15 April ini.

Skuad olahraga negara mencatat kejayaan gemilang dalam temasya KL2017 selepas merangkul lapan pingat emas.

Paling membanggakan, kejayaan Khairul Hafiz Jantan bergelar Raja Pecut Asia Tenggara selain beberapa rekod kebangsaan dan rekod baru temasya dicipta atlet negara.

Pencapaian cemerlang itu menyaksikan seramai 13 atlet olahraga negara berjaya meloloskan diri untuk membuat penampilan dalam Sukan Komanwel.

Jumlah penyertaan itu mempamerkan peningkatan mendadak berbanding edisi empat tahun lalu apabila sekadar membabitkan lima atlet tanpa sebarang pencapaian memuaskan di Glasgow, Scotland.

Namun, dalam temasya kali ini, tiga atlet Program Podium, Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Nauraj Singh (lompat tinggi) dan Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) adalah antara yang dicanang mampu menghadirkan pingat buat kontinjen negara.

"Memang kami menaruh harapan kepada tiga atlet itu.

"Kalau kita lihat ranking dari 2014 dalam Sukan Asia dan Sukan Komanwel, Nauraj berada dalam ranking pingat perak manakala Hakimi dan Irfan dalam ranking gangsa.

"Sudah tentu ia empat tahun lalu dan mereka perlu membuktikan dalam masa terdekat bahawa mereka bersedia dalam temasya itu," kata ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Zainal Abas.

Tumpuan juga bakal terarah kepada Khairul Hafiz selaku pemegang rekod kebangsaan bagi acara reben biru itu.

Sungguhpun cabaran getir menantinya di Gold Coast, dia tetap tampil dengan keazaman tinggi bersandarkan catatan terbaiknya, 10.18 saat.

Bukanlah pingat emas yang diburu, namun peluang beraksi bersama jaguh-jaguh pecut handalan dunia sudah pasti akan memberikan pengalaman berharga buat dirinya nanti.

"Saya hanya meletakkan sasaran untuk ke final kerana sedar akan persaingan tinggi daripada negara lain dalam Sukan Komanwel," ujar Khairul Hafiz.

Dalam usaha menyemarakkan lagi semangat atlet olahraga negara di Gold Coast, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengumumkan insentif RM10,000 kepada pemenang pingat.

Kali terakhir skuad olahraga memenangi pingat adalah 16 tahun lalu dalam Sukan Komanwel Manchester 2002 menerusi atlet jalan kaki, Yuan Yufang, yang meraih gangsa.

Walaupun misi ini tampak sukar, tidak mustahil ada atlet olahraga negara mampu menamatkan kemarau pingat di Gold Coast nanti.