Chef-de-mission (CDM) negara ke Sukan Komanwel Gold Coast, Huang Ying How, lebih senang dengan pendekatan secara berperingkat selepas pendekatan tidak mendedahkan sasaran pingat menjadi tanda tanya.

Perbincangan bersama di antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada awalnya memutuskan untuk tidak mendedahkan sasaran pingat, sebaliknya hanya mengintai kedudukan 10 terbaik sebelum Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memutuskan untuk mendedahkannya.

"Saya tidak terkejut, terpulang kepada Khairy.

"Pada 2015, sasaran yang ditetapkan adalah merebut kedudukan 10 terbaik Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Sebagai ketua kontinjen, kami perlu melihat peringkat awal Sukan Komanwel terlebih dahulu, usah terlalu memikirkan terlalu jauh mengenai pingat emas.

"Kami harus berjaya secara berperingkat, jangan terlalu melihat sehingga ke final yang boleh menjejaskan peringkat awal.

"Yang penting, atlet hadir dengan minda positif dan hanya perlu memberi tumpuan untuk melepasi peringkat kelayakan ataupun awal.

"Jangan terlalu fikirkan emas selagi mereka belum sampai ke final," katanya sambil tersenyum apabila [email protected] hari ini mendedahkan sasaran Astro Arena untuk kontinjen negara meraih sembilan pingat emas di Gold Coast.

Sehubungan itu, Ying How menganggap tekanan adalah lumrah buat atlet dan pendedahan sasaran pingat itu tidak akan menjejaskan persiapan akhir mereka.

"Tekanan adalah sesuatu yang baik, setiap atlet negara yang ke Sukan Komanwel mahu berjaya, termasuklah memenangi pingat.

"Apa yang penting adalah bagaimana mereka mengawal tekanan sama ada mahu membincangkan (sasaran) pingat masing-masing secara terbuka.

"Setiap atlet kalau mahu berjaya, akan ada tekanan tersendiri.

"Pengumuman sasaran pingat tidak ada impak kepada kontinjen Malaysia.

"Setiap atlet mempunyai sasaran tersendiri. Semuanya mahu berjaya, termasuklah Datuk Nicol David. Dia tidak akan datang ke Sukan Komanwel untuk gagal," katanya lagi sambil menerangkan kebanyakan atlet sudah menghentikan latihan membina kecergasan, sebaliknya beralih kepada aspek pemulihan teknikal dan mental yang baik untuk mengharungi temasya Gold Coast 2018.