Skuad bola keranjang wanita negara kembali beraksi dalam Sukan Komanwel Gold Coast dengan keupayaan fizikal mereka bakal diuji dari 4 hingga 15 April ini.

Skuad wanita negara di bawah kendalian ketua jurulatih, Yoong Sze Yuin, berjaya mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Di atas kejayaan dalam tempoh beberapa tahun ini, reputasi mereka sudah mengatasi skuad lelaki yang lazimnya lebih popular dalam kalangan peminat sukan tanah air.

Prestasi konsisten sejak 2015 menyaksikan Malaysia memperoleh jemputan daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) di samping tiga pasukan lain untuk beraksi di Gold Coast.

Ini dicerminkan dengan kedudukan ranking mereka di tangga ke-48 dunia dan 10 terbaik Asia.

"Ini Sukan Komanwel, fizikal pemain lawan lebih besar dan tinggi.

"Cara permainan juga berbeza. Jika kami menggunakan kepantasan dan ketepatan lontaran, pemain lawan pula akan menggunakan ketinggian dan fizikal," kata kapten negara, Nur Izzati Yaakob.

Saingan di Asia Tenggara menyaksikan Malaysia antara pasukan yang sering memberikan tentangan hebat dan sejak bola keranjang dipertandingkan dalam temasya dwitahunan ini pada 1977, skuad negara memegang rekod dengan 13 emas.

Di Gold Coast nanti, Malaysia diundi sekumpulan dengan New Zealand, Jamaica dan India -- ironinya, tiga pasukan yang dihadapi itu turut meraih tiket jemputan.

Daripada sudut ranking, ia tidak jauh membezakan Malaysia dengan tiga pasukan berkenaan tetapi yang menjadi kegusaran adalah aspek fizikal lawan.

Kali terakhir bola keranjang wanita dipertandingkan dalam temasya ini di Melbourne 2006, Malaysia menamatkan kempen di kedudukan ketujuh.

Menjadi sebahagian daripada kontinjen ke Gold Coast seharusnya diraikan peminat sukan tanah air.

Di sebalik kekangan dengan program negara lain, Malaysia boleh mengharapkan skuad bola keranjang wanita mencuri tumpuan.

"Sudah tentu kami mahukan yang terbaik.

"Sasaran kami adalah separuh akhir, kami perlu menang ke atas Jamaica dan India, kemudian barulah kami boleh memikirkan peringkat separuh akhir," ujarnya lagi.