Sasaran tujuh pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018 disukarkan lagi dengan peluang jaguh keirin negara, Azizulhasni Awang, untuk beraksi dilihat tipis apabila kini masih dalam proses pemulihan daripada jangkitan virus.

Azizulhasni kini bergelut dengan masalah kesihatan jangkitan virus sejak kejohanan berbasikal trek dunia, awal bulan ini lalu dan masih dalam pemantauan Insititut Sukan Negara (ISN).

Justeru, kedudukan juara dunia 2017 itu untuk ke Gold Coast belum terjamin apabila satu perbincangan akan dilakukan terlebih dahulu di antara jurulatih, John Beasley, dan pihak ISN bagi menentukan adakah dia mampu untuk beraksi atau sebaliknya.

Saat ditanya kepada Azizulhasni, semestinya dia enggan terlepas untuk menggalas cabaran di Gold Coast sambil menyifatkan tahap kesihatannya beransur pulih walaupun belum 100 peratus.

"Saya boleh katakan bahawa saya tidak berada dalam keadaan 100 peratus.

"Setakat ini, saya berada di tahap yang baik, mungkin 90 atau 95 peratus.

"Saya tetap mahu ke Sukan Komanwel. Saya tahu kemampuan diri sendiri," kata Azizulhasni.

Bagi Beasley, beliau lebih menitikberatkan tahap kesihatan anak buahnya itu bagi mengelakkan risiko besar yang boleh berlaku dan menerima dengan terbuka sekiranya Azizulhasni tidak diberikan lampu hijau untuk beraksi.

"Jika anda bertanyakan soalan ini semalam, mungkin saya akan katakan peluangnya langsung tiada.

"Ketika ini, saya masih lagi menganggap peluangnya 60-40.

"Esok, saya perlu bercakap dengan doktor dan dapatkan khidmat nasihatnya.

"Setakat ini, kami akan terus memantau perkembangannya dalam sesi latihan dan mendapatkan maklum balas mengenai tahap fizikalnya," kata Beasley.

Pencapaian Azizulhasni dalam Sukan Komanwel

Penampilan: Tiga (2010, 2014 dan 2018)

Glasgow 2014

• Gangsa keirin

New Delhi 2010

• Gangsa pecut berpasukan