Penembak berpengalaman negara, Nur Suryani Taibi, berasakan cabaran Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan paling getir dalam kariernya apabila bakal diuji dengan keadaan angin tidak menentu pada hari pertandingan.

Penyertaan Nur Suryani dalam temasya Gold Coast 2018 kembali mengingatkannya ketika membuat penampilan sulung di negara sama pada 2006.

Temasya yang berlangsung di Melbourne itu menyaksikan skuad menembak negara diuji beraksi dalam keadaan angin kuat.

Ia menjadi halangan besar kepada penembak negara untuk beraksi cemerlang dan Nur Suryani sekali lagi menjangkakan cabaran sama akan ditempuhi mereka dalam temasya kali ini.

"Berdasarkan pengalaman pernah menyertai kejohanan di Sydney dan Melbourne, keadaan angin pasti akan mempengaruhi aksi di sana nanti.

"Kali ini saya lebih bersedia daripada segi peluru selain taktik.

"Saya lebih yakin untuk membaca tiupan angin," katanya mengenai acara menembak yang akan berlangsung di Pusat Menembak Belmont, Brisbane nanti.

Untuk rekod, Nur Suryani muncul penembak tunggal negara yang menyumbang pingat di Glasgow, Scotland empat tahun lalu.