Pelari pecut negara, Nixson Kennedy, sedia memikul tugas berlainan dalam memastikan penampilan pertamanya dalam Sukan Komanwel Gold Coast berakhir dengan kejayaan bersama kuartet 4x100m negara.

Dua temasya penting yang disertai Nixson sebelum ini -- Sukan SEA Singapura 2015 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 -- menyaksikannya menggalas tugas sebagai pelari terakhir.

Namun, jurulatih negara, Md Poad Kassim, mahu Nixson berlari sebagai pelari pertama sambil jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, akan ditugaskan sebagai pelari terakhir.

Selaku pelari pertama, cabaran utama Nixson adalah untuk tidak melakukan kesilapan ketika permulaan yang boleh membuatkan penyertaan dibatalkan.

"Saya berdepan banyak tugas kali ini. Selaku pelari pertama, saya perlu memastikan dapat mengelak daripada melakukan kesilapan yang boleh membuatkan penyertaan kami dibatalkan.

"Ditambah pula dengan teknologi ketika ini, sedikit pergerakan badan sahaja boleh membuatkan penyertaan kami dibatalkan," ujarnya.

Kuartet negara kini memiliki catatan 39.72 saat yang juga merupakan rekod kebangsaan yang dilakar dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil dalam acara ini adalah 20 tahun lalu dalam Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

"Sebagai pelari pertama, saya akan pecut habis-habisan.

"Ini merupakan temasya Sukan Komanwel sulung saya, oleh itu saya mahu meraih pengalaman sebaik mungkin," ujarnya lagi.