Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, memberi bayangan nama pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, bakal ada menjelang pengumuman rasmi atlet ke Sukan Komanwel, Selasa ini.

Nama Zaidatul terkeluar daripada senarai 12 atlet sebaik atlet lompat tinggi berpengalaman, Lee Hup Wei, mendapat tempat pada saat-saat akhir berdasarkan prestasi semasa.

"Kuota yang diberikan adalah seramai 98 atlet dan ia telah dipenuhi tetapi ada seorang atau dua atlet yang dimaklumkan mengalami kecederaan dan tidak dapat ke Gold Coast.

"Kami membuat rayuan kepada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) supaya kami boleh menambah satu atau dua tempat lagi," kata Beng Choo.

Untuk seketika, Zaidatul berada dalam senarai menunggu, namun Beng Choo membayangkan perkembangan yang bakal diterima atlet itu.

Ia bukan membabitkan penarikan diri oleh mana-mana atlet daripada sukan berbeza, sebaliknya MOM sendiri cuba mendapatkan kuota tambahan daripada pihak jawatankuasa penganjur Sukan Komanwel.

Selain Zaidatul, beberapa atlet dari sukan lain seperti menembak, triatlon dan ping pong turut membuat rayuan kuota lebih untuk bertanding dalam Sukan Komanwel.

"Keputusan ini hanya boleh dibuat oleh ahli lembaga untuk menentukan atlet mana yang akan menggantikan atlet yang cedera itu.

"Sekiranya ada tempat baru, kami akan tambah.

"Bukan sahaja Zaidatul, ada empat lagi atlet lain yang dipohon persatuan untuk dipertimbangkan," ujarnya lagi.