Di sebalik senyuman tiga gimnas negara, Amy Kwan, Izzah Amzan dan Koi Sie Yan, pasti tiada siapa akan menyangka cabaran besar yang akan diharungi mereka dalam memastikan sasaran satu pingat emas mampu direalisasikan dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Empat rutin iaitu gelung, belantan, bola dan reben telah pun dikuasai sebaik-baiknya oleh mereka dalam memastikan kesilapan kecil tidak akan berlaku yang boleh menjejaskan pengutan mata.

Tiga gimnas negara ini merupakan atlet terbaik yang dipilih Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) untuk menggalas cabaran negara dalam Sukan Komanwel kali ini.

Hanya Amy yang memiliki pengalaman di pentas Sukan Komanwel selepas penampilan sulung di Glasgow 2014 tatkala Izzah dan Sie Yan bakal membuat penampilan pertama.

Atlet berusia 23 tahun itu percaya dengan kemampuan dua rakan sepasukannya itu akan membantu negara merealisasikan sasaran meraih pingat emas dalam acara berpasukan.

Mereka harus bersikap realistik dengan kesukaran untuk meraih pingat acara individu dengan saingan sengit daripada pencabar, khususnya pasukan tuan rumah.

Tetapi, kelebihan pada skuad Malaysia yang mungkin tidak ada pada negara lain adalah keupayaan satu pasukan untuk bekerjasama mengumpul kutipan markah tertinggi berbanding pencabar lain yang lebih mengutamakan acara individu

"Kami menyasarkan emas.

"Rakan-rakan saya yang lain juga berpengalaman. Kami telah menjalani persiapan yang baik.

"Kami berharap untuk mara sejauh yang mungkin serta mempamerkan aksi terbaik," kata Amy.

Izzah yang menjadi atlet terakhir melengkapkan kuota tiga gimnas negara teruja apabila diberi peluang beraksi walaupun menyedari kecederaan lutut yang dialaminya sebelum ini

Apa yang pasti, kepercayaan yang diberi enggan disia-siakan atlet berusia 19 tahun ini yang turut mempunyai sasaran peribadi sekurang-kurangnya ke final acara individu

"Ibu-bapa saya selalu berpesan, buat dengan tenang dan buatlah semua orang berasa bangga, terutama diri sendiri dan jurulatih.

"Semua rutin merupakan kegemaran saya, semuanya saya perlu lakukan," kata Izzah.

Senyuman manis yang wajib terukir di wajah antara petua utama dipegang oleh Sie Yan yang menyifatkan bukan sahaja fizikal memainkan peranan tetapi ekspresi di wajah turut menjadi elemen penting yang perlu ditekankan

Cabaran utama yang sering dihadapi gimnas adalah untuk mengekalkan senyuman manis di wajah dalam apa jua situasi yang bakal dihadapi.

"Kami perlu sentiasa senyum walaupun apparatus terjatuh. Kami perlu tetap mengukir senyuman di muka," kata Sie Yan.