Penolong Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, berkata kontinjen negara mampu meraih sembilan pingat emas dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 walaupun banyak pihak menunjukkan sikap berdiam diri mengenai perkara itu.

Kok Chi adalah antara individu paling arif mengenai sasaran pingat buat Malaysia setiap kali berdepan saingan sukan bertemasya.

Beliau pernah meramalkan Malaysia akan jauh mengatasi sasaran 111 pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sehingga sanggup meletakkan jawatan jika gagal dicapai.

Menjelang aksi di Gold Coast, pegawai sukan veteran berusia 80 tahun itu menegaskan Malaysia mampu mencapai sembilan emas walaupun banyak pihak tidak mahu mengeluarkan kenyataan mengenai sasaran buat kem negara.

"Kita harus bersikap realistik dan membuat congakan berdasarkan kemampuan. Sebarang jumlah boleh diperkatakan tetapi ia tidak adil.

"Sebagai contoh, skuad terjun sebelum ini meraih satu pingat emas. Bagi saya, walaupun mereka tampak mampu mengutip dua emas, lebih baik menetapkan satu kerana sekurang-kurangnya pencapaian sebelum ini boleh diulangi.

"Sasaran perlu ada kerana jika tida, kita akan ke Gold Coast tanpa sebarang hala tuju," kata Kok Chi.

Sebelum ini, ketua kontinjen negara, Huang Ying How, serta pengarah Program Podium, Tim Newenham, enggan mendedahkan sasaran pingat kerana bimbang ia akan memberi tekanan tambahan kepada 178 atlet Malaysia di Gold Coast nanti.