Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, akan mengumumkan sasaran pingat kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Selasa depan, selepas menerima desakan pelbagai pihak mengenai hala tuju negara dalam temasya bulan depan itu.

Kementerian Belia dan Sukan sedang menjalankan kajian mengenai jumlah pingat emas paling realistik yang akan menjadi buruan atlet negara di Gold Coast, 4-15 April ini.

Tindakan itu dilihat sebagai menyahut cabaran pemerhati sukan negara yang meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan sasaran kontinjen negara.

Pengumuman itu akan dibuat dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang di Putrajaya, Selasa ini.

"Saya akan mengumumkan sasaran pingat kontinjen negara dalam saingan Sukan Komanwel nanti," kata Khairy.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Program Podium sebelum ini menegaskan sasaran pingat akan memberi tekanan kepada atlet.

Sementara itu, chef-de-mission (CDM) kontinjen negara, Huang Ying How, menyambut baik keputusan Khairy itu.

"Buat atlet yang mampu memberikan pingat, mereka telah diberikan sasaran. Saya yakin atlet Malaysia akan berusaha untuk membawa pulang pingat dari Gold Coast nanti," kata Ying How.

Imej: Asiana