Pelari sensasi negara, Khairul Hafiz Jantan, menjadikan catatan peribadi terbaik 10.18 saat sebagai sandaran untuk membuat kejutan mara ke final Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, bulan depan.

Khairul Hafiz adalah antara 12 atlet olahraga yang diberi kepercayaan mewakili negara ke temasya Gold Coast itu.

Berdepan cabaran berbeza berbanding aksi dalam temasya KL2017, pemegang rekod kebangsaan itu enggan mempersiakan peluang itu.

Khairul Hafiz mengintai peluang ke final berdasarkan catatan terbaiknya biarpun Sukan Komanwel bukan tumpuan utamanya berbanding Sukan Asia.

"Dalam Sukan Komanwel, saya hanya sasar untuk ke final kerana kita sudah tahu bahawa semua bintang beraksi di sana.

"Saya akan cuba lari dengan baik dan berada dalam kelompok lapan terbaik," katanya.

Turut menyuarakan hasrat sama untuk layak ke pentas final ialah atlet 110 meter berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian.

Bakal membuat penampilan sulung dalam Sukan Komanwel, atlet kelahiran Keningau, Sabah itu bertekad memperbaiki teknik lariannya untuk mencapai misi itu.

"Daripada segi larian tidaklah sempurna tetapi saya akan memperbaikinya, terutama dalam aspek teknik. Itu masalah saya.

"Kalau boleh, saya mahu lebih cepat di atas pagar. Kalau sebelum ini saya melakukan 0.5s di atas pagar, saya ingin potong kepada 0.3s atau 0.2s, maka ia lebih baik," kata Rayzam Shah.