Tiada istilah gentar buat raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, apabila sedia mencabar atlet terbaik dunia di trek Sukan Komanwel Gold Coast yang hanya berbaki 19 hari sahaja lagi.

Khairul Hafiz sedang giat menjalani latihan dengan tiga pelari, Badrul Hisyam Abdul Manap, Nixson Kennedy dan Jonathan Nyepa memandangkan mereka akan menyertai acara 4x100 meter dalam temasya itu, dari 4 hingga 15 April nanti.

Biarpun mereka jarang berlatih bersama, Khairul Hafiz bagaimanapun menyifatkan mereka mudah mencapai keserasian, khususnya dalam pertukaran baton.

Selain 4x100m, Khairul Hafiz turut menggalas cabaran dalam acara kegemarannya, 100m.

"Kami turut berlatih untuk 4x100m. Saya lihat keserasian pertukaran baton semakin baik berbanding pada awal pasukan ini ditubuhkan.

"Lagipun, kami baru mengujinya sebanyak dua kali.

"Mungkin selepas Sukan Komanwel, kami akan terus berlatih untuk acara ini juga," ujar atlet dari Melaka itu.

Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim, meletakkan sasaran untuk Khairul Hafiz sekurang-kurangnya layak ke pusingan kedua di Gold Coast nanti kerana ini akan menjadi penampilan pertamanya.

"Saya menyasarkannya untuk mara ke pusingan kedua.

"Dia baru pulih daripada kecederaan dan saya mahu dia mengekalkan momentum lariannya, iaitu dalam lingkungan 10.20 saat," kata Poad.

Kejohanan terdekat yang akan disertai Khairul Hafiz adalah Kejohanan Olahraga Terbuka Kuala Lumpur, Ahad ini.