Ketiadaan beberapa jaguh pecut dunia diketuai Asafa Powell dari Jamaica belum menjamin peluang raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, untuk layak ke final acara 100m Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Taraf acara olahraga Sukan Komanwel hampir menyamai Sukan Olimpik.

Tanpa Powell, Andre de Grasse (Kanada) atau James Dasoulu (England), saingan tetap sengit, sekali gus menyukarkan peluang pelari pecut negara.

Juara dunia 2011, Yohan Blake (Jamaica) akan turun selaku pilihan utama berbekal catatan peribadi terbaik, 9.69 saat.

"Kami tidak berpeluang untuk bersaing dengan pelari bertaraf dunia tetapi kami masih lagi berpeluang untuk berdepan Blake dan mara ke final," kata Khairul Hafiz.

Dalam sejarah sukan negara, belum ada pelari pecut negara mara ke final 100m Sukan Komanwel.

Jika memecahkan rekod kebangsaan miliknya 10.18 saat, Khairul Hafiz berpeluang ke final.

Selain 100m, Khairul Hafiz akan turut beraksi dalam 4x100m bersama Badrul Hisham Abd Manap, Jonathan Nyepa dan Nixson Kennedy.

Begitupun, aksi terbaru dalam Kejohanan Perak All Comers, hujung minggu lalu, menyaksikan larian mereka terbatal ekoran masalah pertukaran baton.