Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, memberi jaminan keselamatan kontinjen negara dalam Sukan Komanwel Gold Coast selepas pihak keselamatan Australia menahan sembilan individu di Lapangan Terbang Brisbane.

Kebimbangan mengenai faktor keselamatan mula meningkat menjelang upacara pembukaan temasya, Rabu depan.

Jabatan Imigresen Australia menahan sembilan individu warga India yang cuba memasuki negara itu menggunakan kad akreditasi tidak sah.

Penganjur mengeluarkan kenyataan bahawa Sukan Komanwel 2018 bebas daripada sebarang ancaman, terutama membabitkan 6,600 atlet dari 71 negara yang mengambil bahagian.

"Sukan Komawel 2006 diadakan di Melbourne dan mereka menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2000, rekod Asutralia sebagai penganjur sememangnya di tahap terpuji daripada aspek keselamatan, bahkan mereka merupakan contoh yang baik untuk diikuti.

"Jadi, saya tidak berasakan kontinjen negara perlu risau mengenenai isu keselamatan," ujarnya.

Atlet negara seperti pasukan hoki, gimnastik, terjun dan berbasikal trek sudah berada di Gold Coast sejak beberapa hari lalu.

Mereka dinasihatkan tidak meninggalkan perkampungan sukan dan venue latihan di atas nasihat pihak keselamatan tempatan sepanjang temasya dari 4 hingga 15 April nanti.