Biarpun belum sembuh sepenuhnya daripada jangkitan demam virus, jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, percaya pengalaman dan skil kayuhannya akan membantu kontinjen negara meraih pingat dalam Sukan Komanwel, Gold Coast, bulan depan.

Bekas juara dunia itu berkata penampilannya kali ini bukan di atas tiket individu tetapi berpasukan apabila melihat prestasi rakan sepasukannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, lebih baik berbanding dirinya ketika ini.

Menurutnya, sekiranya kedua-dua mereka layak ke final dalam temasya itu, dia bersedia memberi laluan kepada Muhammad Shah untuk meraih pingat buat kontinjen negara.

“Kami memang berharap untuk pulang dengan pingat tanpa mengira warna,” katanya dalam sidang media mengenai persediaan atlet Program Podium di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

Azizulhasni, pemenang pingat gangsa acara keirin dalam Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 2014, berkata dia tidak akan mensia-siakan peluang dan akan menggunakan pengalaman serta skil yang ada untuk berjuang habis-habisan di Gold Coast.

Azizulhasni, yang berlatih di Melbourne lebih 10 tahun itu, berkata beraksi di Gold Coast juga ibarat berlumba di laman sendiri dan dia turut teruja untuk mempamerkan kayuhan terbaik di hadapan penyokongnya di sana.

“Dalam latihan minggu ini, saya lihat corak kayuhan semakin bagus walaupun tidak setara dengan prestasi saya ketika Kejohanan Trek Berbasikal Asia baru-baru ini.

“Acara keirin ini tidak bergantung kepada prestasi sahaja tetapi faktor lain seperti pengalaman, skil, taktik kayuhan serta elemen nasib juga mempengaruhi pada hari perlumbaan.

"Jurulatih (John Beasley) percaya saya boleh kawal tekanan itu dan pengalaman saya boleh menutupi defisit 30 peratus kekurangan prestasi saya ketika ini,” katanya.

-- BERNAMA