Atlet triatlon negara, Serena Yang, menerima tamparan hebat sebelum ke Sukan Komanwel Gold Coast apabila mengalami kecederaan ekoran terjatuh semasa menjalani latihan, hari ini.

Serena mengalami kemalangan kecil itu ketika melakukan latihan disiplin basikal apabila gagal mengawal basikalnya ketika melalui permukaan jalan raya yang berpasir.

Namun, dia hanya mengalami luka luaran dan sudah mendapatkan rawatan.

"Ya, saya sedang melakukan latihan pusingan U. Oleh kerana ia dilakukan agak lemah lalu saya terjatuh.

"Saya yakin dapat pulih dengan cepat tetapi risau memikirkan prestasi dalam aksi renang," kata Serena.

Serena yang menjuarai Kejohanan Triatlon Kebangsaan di Putrajaya, Oktober lalu, bakal melakukan penampilan sulungnya dalam temasya Gold Coast 2018 bersama wakil lelaki negara, Chong Xian Hao.

Dalam masa sama, jurulatih triatlon negara, Nik Lini Hayati Nik Kazim, optimis kecederaan yang dialami Serena tidak akan membataskan kelibatnya dan sempat untuk pulih sebelum ke Australia, 1 April ini.

"Kami agak bernasib baik kerana selepas melakukan imbasan, tiada sebarang kecederaan dalaman yang dialami.

"Daripada segi fizikal, mereka telah berada di tahap terbaik pada umur mereka," ujarnya.

Tambah Nik Lini, kedua-dua anak buahnya juga sudah menjalani persiapan yang baik menghadapi Sukan Komanwel.