Gimnas negara, Tracie Ang, terpaksa mengorbankan Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April ini gara-gara masalah kecederaan.

Tindakan itu memaksa Tracie mengambil langkah drastik demi menyelamatkan kariernya berikutan kecederaan pinggang yang semakin serius.

Dia muncul satu-satunya atlet Malaysia yang menarik diri.

"Saya tidak boleh memberikan 100 peratus, saya mengambil keputusan untuk tidak bertanding di Gold Coast.

"Setiap hari, saya memotivasikan diri sendiri melalui persekitaran positif. Sekiranya saya memutuskan untuk mengambil bahagian, saya boleh kembali tercedera dan akan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.

"Doktor sudah mengesahkan saya tidak pulih 100 peratus, saya tidak mahu memulakan proses pemulihan dari bawah semula," katanya.

Susulan itu, tempat Tracie akan digantikan dengan gimnas muda, Geanie Ng Ee Ling.

"Banyak negara pencabar yang kuat dalam Sukan Komanwel seperti Great Britain, Kanada dan Australia.

"Saya harap atlet negara akan lakukan yang terbaik, semoga ada perkara yang baik berlaku," ujarnya.