Kecederaan mula menghantui atlet gimnastik artistik negara, Tan Ing Yueh, apabila buku lalinya terseliuh bulan lalu menjelang sebulan lagi Sukan Komanwel Gold Coast akan bermula.

Ing Yueh antara yang terawal sah akan beraksi dalam temasya Gold Coast 2018 di samping Farah Ann Abdul Hadi dan Tracie Ang sebelum Nur Azira Aziri melengkapkan kuota empat atlet.

Namun, malang tidak berbau apabila pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu mengalami kecederaan buku lali kiri dalam Piala Dunia di Melbourne, Australia, pada 22 dan 23 Februari lalu, sekali gus gagal untuk menamatkan aksi di sana.

Kini, dia hanya menjalani latihan dengan lebih berhati-hati berikutan kesakitan masih lagi terasa selain berharap ia segera pulih dalam masa terdekat.

"Buat masa sekarang, saya perlu menjaga keadaan kaki.

"Kecederaan masih ada dan saya perlu menghadiri proses pemulihan untuk menguatkannya.

"Perasaan takut itu tetap ada kerana ia boleh menjadi lebih teruk, jadi saya perlu sentiasa berwaspada," kata Ing Yueh mengenai temasya dari 4 hingga 15 April itu.

Melihat keadaan Ing Yueh, Azira turut mengambil langkah sama bagi memastikan kecederaan pada saat akhir tidak berlaku memandangkan tiada lagi kejohanan untuk mereka selepas ini selain Sukan Komanwel.

Apatah lagi, dipilih sebagai atlet terakhir ke sana merupakan peluang yang tidak harus disia-siakan Azira.

"Saya perlu menguatkan lagi mental kerana latihan semakin bertambah dari hari ke hari.

"Jadi, saya perlu fokus dan apa yang paling penting adalah mengelakkan kecederaan.

"Saya akui berasa sedikit tertekan," ujar Azira.