Atlet triatlon negara, Serena Yang, kini beransur pulih daripada kecederaan selepas terjatuh ketika menjalani sesi latihan pada Ahad lalu dan sudah kembali meneruskan latihan bagi menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast.

Serena ketika ditemui tampak bersemangat untuk membawa cabaran negara di Gold Coast walaupun luka di bahagian lutut belum pulih sepenuhnya.

Dia mengalami kecederaan itu ketika menjalani latihan berbsikal di Shah Alam, Ahad lalu, apabila terjatuh selepas gagal mengawal basikalnya ketika melalui kawasan berpasir.

Bagi Serena, dia tetap menggagahkan diri menjalani latihan kerana mahu berada pada tahap terbaik sebelum berlepas ke Gold Coast, Ahad ini.

"Keadaan saya semakin baik hari ini, saya sudah mula menjalani latihan berbasikal. Dua hari lepas, keadaan lutut saya masih bengkak dan membataskan pergerakan saya. Saya berharap keadaan saya akan terus pulih sebelum menghadapi saingan di Gold Coast," katanya.

Kerisauan Serena adalah dia perlu menggandakan usaha untuk disiplin berenang di Gold Coas, kerana dia kini tidak boleh menjalani latihan berenang disebabkan kecederaannya.

Sementara itu, jurulatih triatlon negara, Nik Lini Hayati Nik Kazim, memuji semangat juang tinggi Serena yang tetap memberikan komitmen tinggi walaupun masih beransur pulih daripada kecederaannya.

"Saya memuji semangat yang dimiliki oleh Serena kerana sudah mula kembali menjalani latihan selepas mengalami kemalangan dua hari lalu. Semangat juang yang dimiliki Serena akan membantunya ketika di Gold Coast nanti," kata Hayati.