Skuad angkat berat negara dikejutkan dengan kecederaan belakang pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Mohammad Fazrul Azrie Mohdad, hingga terpaksa meninggalkan kem latihan pusat di Balik Papan, Indonesia.

Fazrul hanya sempat berlatih dua minggu di Balik Papan menjelang Sukan Komanwel Gold Coast.

Pemegang rekod kebangsaan kategori 85kg ini mengalami kecederaan belakang yang mampu menjejaskan peluangnya merangkul pingat di Gold Coast nanti.

Atlet kelahiran Rompin, Pahang ini pada awalnya diletakkan sebagai ranking keempat berbekalkan catatan 327kg yang dilakukan ketika meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Saya baru mengalami kecederaan ini pada awal bulan Mac dan kini telah menjalani proses pemulihan dan semakin pulih," kata Fazrul.

Atlet India, Rahul Ragala Venkat, diletakkan sebagai pilihan utama dalam kategori 85kg.

Angkat berat menggalas harapan menyumbang pingat emas kontinjen negara selepas Mohd Hafifi Mansor menjuarai kategori 69kg di Glasgow, Scotland pada 2014.