Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang, masih menjadi sandaran kontinjen negara memburu kilauan pingat dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018, dari 4 hingga 15 April ini.

Perkara itu dijelaskan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, walaupun mengakui masalah kesihatan yang sedang dialami Azizulhasni boleh menjejaskan peluangnya dalam temasya itu nanti.

Masalah prestasi turut menganggu atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu selepas dijangkiti virus, namun diberi lampu hijau oleh Institut Sukan Negara (ISN) untuk beraksi di Australia.

“Azizulhasni memberi jaminan bahawa dia akan memberikan yang terbaik dan sebagai bekas juara dunia, saya yakin Azizulhasni masih berpeluang.

“Diharapkan beberapa hari ini dia sempat pulih sepenuhnya dan dia masih disasarkan untuk memenangi pingat,” tambah Khairy yang ditemui dalam Majlis Meletak Batu Asas Projek Pembinaan Velodrom Berbasikal di Dungun hari ini sambil mengumumkan Velodrom Azizulhasni Awang sebagai nama rasmi kompleks tersebut.

Dijangka siap pada penghujung 2019, Khairy berkata reka bentuk velodrom itu diilhamkan daripada Velodrom Roubaix di Perancis dengan tempoh pembinaan selama 18 bulan membabitkan kos keseluruhan RM12 juta.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) meminta sedikit masa lagi untuk mengubah reka bentuk kerana kami mahukan velodrom ini juga boleh dijadikan penamat bagi perlumbaan lebuh raya,” ujarnya.

Dalam sidang medianya, turut diumumkan ialah peruntukan geran RM1 juta kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) untuk program pembangunan sukan berbasikal di negeri itu.

Kejayaan Terengganu Cycling Team (TSG) muncul pasukan tempatan pertama memenangi jersi kuning Le Tour de Langkawi (LTdL) juga diraikan dengan ganjaran RM100,000 daripada Kerajaan Negeri Terengganu dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Sementara itu, Program Podium tidak akan memaksa atlet negara menyertai temasya Gold Coast 2018 sekiranya mereka berdepan masalah kesihatan seperti yang dialami Azizulhasni dan Mohamad Fazrul Azrie Mohdad (angkat berat).

Kesediaan Azizulhasi dan Fazrul menyertai Sukan Komanwel mencerminkan semangat juang atlet negara.

Kedua-duanya tetap bertegas untuk beraksi di Gold Coast meskipun tidak berada dalam prestasi terbaik.

Azizulhasni pula belum pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus sementara Fazrul mengalami kecederaan belakang.

"Pengaruh Azizul boleh membangkitkan semangat kontinjennya.

"Dia boleh menjadi contoh kepada atlet lain untuk menghasilkan prestasi terbaik dan melonjakkan semangat atlet lain.

"Banyak perkara pelik berlaku dalam sukan. Namun, sesuatu yang pasti, kalau atlet tidak bersedia mengambil kesempatan yang terhidang, mereka tidak akan dapat memanfaatkannya.

"Tugas mereka, mereka perlulah sentiasa bersedia jika ada atlet yang tercedera," kata Pengarah Program Podium, Tim Newenham.

Sementara itu, jurulatih pelapis trek negara, Muhammad Edrus Md Yunos, masih menaruh kepercayaan terhadap keupayaan Azizulhasni, dengan berkata: "Azizul mempunyai semangat juang yang tinggi. Dalam apa jua situasi pun, dia mampu buat yang terbaik.

"Walaupun persembahannya ketika ini merudum, perancangannya bersama jurulatih, John Beasley, pasti menjadi."

Bekas pemenang emas dari Great Britain, Jason Kenny, akan membuat kemunculan semula, namun Edrus menegaskan Azizul pernah mengatasi pencabarnya itu.

"Tiada masalah buat Azizul berjuang dalam acara keirin," katanya lagi.