Dua gimnas lelaki negara, Jeremiah Loo Phay Xing dan Tan Fu Jie, berpandangan hanya sia-sia menyertai Sukan Komanwel Gold Coast 2018 jika meletak tekanan terlalu tinggi untuk memburu pingat menerusi acara kepakaran mereka.

Mereka meraih peluang ke Gold Coast di atas dasar memenangi emas bersama bagi kategori kekuda berpelana dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

Ketika perincian kemahiran dalam kepakaran mereka terus diberikan, dua gimnas negara itu turut memberi tumpuan kepada disiplin lain seperti melombol, gelung dan senaman lantai.

Pendekatan itu akan menawarkan mereka peluang untuk menempatkan diri dalam sebanyak final yang mungkin.

"Kami tidak bercakap mengenai pingat dahulu. Saya mahu terlebih dahulu mara ke final, barulah fikirkan mengenai pingat.

"Saya mahu menstabilkan aksi dan melakukan apa sahaja yang boleh untuk Sukan Komanwel," kata Jeremiah.

Fu Jie turut menyuarakan pandangan sama dengan berkata: "Saya mahu ke final dan selepas itu barulah menyasarkan pingat."

Jeremiah dan Fu Jie juga mengharapkan agar mereka diberi peluang untuk memanaskan badan dalam satu lagi Siri Piala Dunia di Doha, Qatar, dari 21 hingga 24 Mac ini.

Jika tidak, mereka perlu bersandarkan kepada prestasi hambar dalam Siri Piala Dunia Melbourne, Australia hujung Februari lalu sebagai penanda aras untuk memperbaiki kelemahan.

"Dalam pertandingan di Melbourne, saya gementar kerana ia pertandingan pertama tahun ini. Sekarang ini, saya fikir saya telah betulkan minda bahawa saya boleh melakukan dengan lebih baik.

"Saya akan ke Qatar terlebih dahulu sebelum bertanding dalam Sukan Komanwel," kata Jeremiah.

"Ia adalah Piala Dunia pertama saya. Sudah tentu saya gementar dan banyak melakukan kesilapan, ia membuatkan kutipan mata saya rendah. Diharapkan di Gold Coast nanti, saya boleh melakukannya dengan lebih baik," ujar Fu Jie.