Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, tidak menafikan dirinya begitu terasa dengan ketiadaan Grace Wong selepas rakan seperjuangannya itu mengambil keputusan untuk menarik diri daripada beraksi dalam Sukan Komanwel Gold Coast, 4-15 April depan.

Tatkala Sukan Komanwel hanya berbaki sebulan lagi, ketiadaan Grace semakin dirasai Jackie, apatah lagi selepas sekian lama berlatih bersama.

Bagaimanapun, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu tetap membawa semangat atlet yang telah dianggap seperti adiknya sendiri ke Gold Coast, seperti apa yang dilakukan dalam setiap kejohanan apabila sorakan Grace sentiasa mengiringi aksinya.

Jackie tetap menghormati keputusan Grace yang enggan terlibat dalam mana-mana kejohanan pada tahun ini bagi memberi fokus kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Rindu juga apabila Grace tiada ketika sesi latihan dan mana-mana kejohanan. Selalunya, dia akan berikan sokongan kepada saya," kata Jackie.

Dia dan jurulatihnya, Gu Yuan, akan ke Perlis pada Rabu depan sebagai persiapan penuh sebelum terbang ke Australia dan walaupun tiada latihan di luar negara, itu tidak menjadi masalah untuknya terus memperbaiki tahap prestasi.

"Sekarang, untuk semester baru, saya masih belum mulakan pengajian kerana telah membuat keputusan untuk menjalani latihan di Perlis. Ia dilakukan untuk memberikan tumpuan kepada latihan kami," ujarnya lagi.