Atlet menembak senior negara, Hasli Izwan Amir dan Nur Suryani Mohd Taibi, enggan meletak sasaran emas dalam Sukan Komanwel Gold Coast bulan depan kerana tidak mahu memberi tekanan buat diri sendiri.

Hasli dan Nur Suryani adalah antara penembak negara yang konsisten menjelang saingan Sukan Komanwel kali ini.

Hasli menjuarai saingan 25 meter rapid pistol dalam Terbuka Selangor, Disember lalu, manakala Nur Suryani turut menjuarai saingan 50m rifle tiga posisi wanita dalam kejohanan sama.

Membuat penampilan dalam saingan Sukan Komanwel buat kali keenam, Hasli enggan kegagalan di Glasgow empat tahun lalu berulang kali ini.

"Saya mahu memberikan yang terbaik dan berharap perkara di Glasgow tidak berulang. Berdasarkan latihan, saya berada di tahap terbaik," kata Hasli.

Nada sama turut dilontarkan Nur Suryani yang mahu terlebih dulu mengesahkan tempat ke pentas akhir di Gold Coast terlebih dulu sebelum memikirkan kilauan pingat buat kontinjen negara.

"Saya tidak suka untuk meletakkan sasaran yang terlalu tinggi kerana ia mungkin mendatangkan impak yang positif dan ada kalanya ia menjadi negatif," kata Suryani.

"Sukan menembak ini 80 peratus adalah penguasaan mental ketika beraksi."