Malaysia bakal memandang kepada olahraga menerusi jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, sebagai sumber inspirasi apabila diberi penghormatan selaku pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Selepas dua dekad, Hakimi menjadi atlet pertama daripada skuad olahraga yang diberikan tanggungjawab itu.

Lebih simbolik, 20 tahun lalu dalam Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, individu yang mengetuai kontinjen negara adalah seorang lagi ikon atlet lompat kijang, Zaki Sadri.

Hakimi memandang tugasan itu sebagai penyuntik motivasi untuk memperbaharui rekod kebangsaan 16.77 meter di Gold Coast nanti.

Ini di sebalik dia dipilih untuk penghormatan itu berbanding atlet berstatus juara dunia seperti Azizulhasni Awang atau Cheong Jun Hoong.

"Ini sesuatu yang tidak pernah saya impikan dan ia merupakan penghormatan besar buat saya sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam kejohanan besar.

"Ini satu motivasi untuk melakukan yang terbaik dan membuktikan olahraga boleh berjaya di peringkat lebih tinggi.

"Dari segi latihan sudah banyak meningkat dan apa sahaja boleh berlaku.

"Saya hanya perlu ke sana dan berikan yang terbaik. Misi saya adalah memecah rekod kebangsaan serta meraih apa jua kilauan pingat," katanya.