Skuad menembak negara menerima khabar kurang gembira tiga minggu sebelum Sukan Komanwel Gold Coast membuka tirai 4 April ini.

Ia susulan Ezuan Nasir Khan yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur dalam acara rifle 50 meter prone mengalami keretakan pada jari kelingkingnya.

Ezuan ditimpa kecederaan itu akibat tergelincir di kawasan Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Begitupun, jurulatih menembak negara, Sabki Mohd Din, mengesahkan ia bukan kecederaan serius sehingga boleh menjejaskan persediaan atlet tersebut untuk ke Gold Coast.

"Ada hikmah atas kejadian yang telah berlaku.

"Saya yakin Ezuan seorang atlet yang kuat dan perkara ini tidak akan menghalangnya untuk beraksi cemerlang di Gold Coast nanti," katanya.

Ezuan, bagaimanapun, dinasihatkan oleh doktor pakar agar berehat selama seminggu sebelum kembali menjalani latihan.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2014 itu adalah antara sembilan penembak yang akan membawa cabaran negara dalam Sukan Komanwel dalam acara rifle 50m prone dan 10m air rifle.