Ketua jurulatih skuad hoki wanita, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, ingin melupakan kenangan pahit direhatkan selepas gagal dalam temasya yang sama ketika mengendalikan pasukan lelaki negara.

Skuad hoki lelaki dan wanita berlepas ke Gold Coast kelmarin dengan harapan Gold Coast 2018 akan menghadirkan kenangan lebih indah.

Dhaarma Raj tidak melupakan peristiwa pahit selaku jurulatih hoki lelaki negara apabila dikritik hebat selepas aksi hambar di Glasgow dengan menduduki tempat ketujuh hingga Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) terpaksa merehatkannya.

Justeru, dengan misi baru bersama skuad hoki wanita, beliau mahu memastikan anak buahnya mampu melakar kejutan walaupun menyedari Malaysia hanya dipandang sebelah mata oleh pasukan seperti Afrika Selatan, India, England dan Wales dalam saingan Kumpulan A.

"Peristiwa di Glasgow saya takut berulang kembali. Dalam beberapa minggu terakhir ini, saya buat sehabis baik agar ia tidak berulang," katanya.

Turut berkongsi pengalaman sedemikian adalah pertahanan negara, Muhammad Razie Abdul Rahim, yang ketika itu menggalas tugas sebagai kapten di Glasgow.

Baginya, segala kritikan pedas mampu bertukar kepada kata-kata semangat kepada pasukan lelaki yang dibimbing Stephen Van Huizen.

"Kami anggap itu sebagai cabaran. Kami tidak boleh mengelak kritikan.

"Sebagai pasukan, kami menganggap itu sebagai pembakar semangat," ujar Razie.