Perbezaan masa yang ketara dengan perenang dari Australia dan Kanada membuat atlet renang para negara, Carmen Lim, menganggap bukan mudah untuk meraih pingat di pentas Sukan Komanwel Gold Coast 2018, bulan depan.

Carmen yang bakal mempertaruhkan aksi dalam acara 50 meter gaya bebas buat julung kalinya di temasya itu menyifatkan jurang di antara dirinya dengan perenang Kanada serta Australia terlalu jauh.

Catatan terbaiknya setakat ini adalah 36.48 saat tatkala rata-rata pencabarnya khususnya dari negara tuan rumah memiliki jurang di antara 30 hingga 34 saat.

Sehubungan itu, pemenang pingat emas Sukan Para AEAN 2017 itu bersikap realistik demi memastikan dia memperbaiki catatan masa peribadi sehingga 35 saat untuk sekurang-kurangnya mara ke final, seterusnya memburu kedudukan empat terbaik.

"Sukar untuk menaiki podium kerana perenang dari Australia dan Kanada sangat kuat.

"Begitupun, saya harap dapat melakar catatan peribadi terbaik bagi melayakkan diri dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang nanti.

"Kalau berdasarkan catatan terbaik ketika ini, saya rasa sudah pun layak namun saya ingin melakukan yang lebih baik di Gold Coast," katanya.

Dia yang kini menyambung pelajaran di Britain sejak Januari lalu mengakui agak mencabar untuk membiasakan diri dengan program latihan sendiri di sana.

"Pusat latihan saya di sana terdiri daripada perenang normal, kesemua mereka lebih pantas daripada saya namun jurulatih memberi tunjuk ajar yang baik dan saya mendapat sokongan ramai.

" Ia program berbeza daripada apa yang pernah saya tempuhi, namun mereka sentiasa meniupkan semangat," katanya.