Jurulatih pecut negara, M. Balamurugan, percaya rayuan Zaidatul Husniah Zulkifli untuk mendapatkan slot ke Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan, adalah positif ketika Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bakal membuat keputusan muktamad esok.

Selepas Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo, mengesahkan terdapat kuota tambahan yang diberikan jawatankuasa penganjur kepada Malaysia, Bala positif anak buahnya berkenaan berpeluang untuk mengisi slot untuk beraksi dalam temasya sukan itu.

Sebelum ini, nama ratu trek negara itu diketepikan dan disenaraikan sebagai atlet simpanan, dengan jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, kekal berada dalam senarai 12 nama ke Gold Coast.

Kini, Bala tetap positif rayuan terhadap Zaidatul akan membuahkan hasil meskipun peluang untuknya meraih pingat adalah tipis.

"Peluang itu terpulang kepada MOM. Apa-apa keputusan sekalipun, kami akan ambil positif. Kalau dia pergi, ia satu pendedahan untuk persiapannya ke Sukan Asia.

"Sukan Komanwel ini sukar kerana ramai pesaing kuat. Bagaimanapun, ia baik untuk Zaidatul kalau boleh menyertainya," kata jurulatih itu.

Bala turut memuji pemenang pingat perak Sukan SEA 2017 itu kerana tetap tenang sewaktu dimaklumkan tidak berada dalam senarai 12 nama.

Apa yang pasti, katanya, Sukan Asia di Jakarta pada Ogos depan tetap menanti Zaidatul sekiranya tidak berjaya ke Gold Coast.

"Apa yang saya suka tentang Zaidatul ialah kerana dia tidak pernah kecewa. Dia mengambilnya sebagai satu cabaran. 'Apa-apa keputusan berlaku, saya akan berlatih dan saya akan buktikan', itu jawapannya kepada saya," tambah Bala.

Menariknya tentang Zaidatul yang lebih mesra dengan panggilan Adeq itu, dia berkongsi minat dalam olahraga bersama kembar seirasnya, iaitu Zaidatul Husna Zulkifli atau Along.

Pemegang rekod kebangsaan yang dicatat dalam Kejohanan Pra-Sukan Asia pada Januari lalu itu juga meminati bidang perguruan.

Zaidatul Husniah Zulkifli

Umur: 25 Tahun
Asal: Alor Setar, Kedah
Pendidikan Tertinggi:
• Ijazah Pendidikan Jasmani, UPM

Pencapaian 2018:
• Emas 100m pra-Sukan Asia
• Emas 100m SUKIPT

Fakta menarik:
• Pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 11.45s.
• Mempunyai kembar, iaitu Zaidatul Husna, yang juga atlet olahraga.