Biarpun skuad ping pong para negara bakal bersandarkan kepada wakil tunggal, Muhammad Azwar Abu Bakar, dalam Sukan Komanwel Gold Coast, namun penyenaraiannya bukanlah sekadar mencukupkan kuota, sebaliknya dilihat sebagai antara pencabar terhebat untuk meraih pingat.

Azwar sudah biasa berlatih seorang diri tanpa rakan sepasukan mahupun bimbingan jurulatih.

Dia tidak menjadikan itu sebagai batu penghalang untuk berjaya, sebaliknya mahu membuktikan kredibiliti menghuni ranking ke-14 dunia bagi kategori kelas 10.

Berbekalkan pengalaman beraksi dalam dua temasya besar dunia seperti Sukan Paralimpik London 2012 dan Sukan Paralimpik Rio 2016, Azwar yakin dia mampu menterjemahkan sesuatu yang boleh dibanggakan di Gold Coast nanti.

"Secara positifnya, ia bagus sebab saya berdikari dan mematangkan saya.

"Dalam perlawanan, saya memang sudah berdikari. Walaupun ia cabaran buat saya, namun saya tetap positif," katanya.

Biarpun begitu, Azwar masih memasang misi peribadi, iaitu menundukkan seteru utamanya dari England, Kim Daybell.

Dendam kesumat itu tersemat sejak temasya Paralimpik London 2012 lagi apabila Azwar tewas kepada Daybell pada pusingan pusingan pertama dan seterusnya beberapa pertemuan antarabangsa yang lain.

"Saya cuma sasar untuk menang ke atas pencabar dari England, Kim Daybell.

"Saya tidak pernah mengalahkannya dalam mana-mana kejohanan, saya sering kalah tipis kepadanya.

"Kalau saya mampu menang ke atasnya, saya pasti akan meraih sesuatu," kata Azwar.

Menggalas tanggungjawab sebagai wakil tunggal negara, Azwar mengambil inisiatif untuk menyertai latihan bersama atlet normal di bawah kendalian jurulatih ping pong negara, Beh Lee Wei.

Sesi latihan yang lebih mencabar dilihat mampu membantu Azwar untuk mengadaptasi situasi perlawanan sebenar yang lebih kompetitif.

"Dalam Sukan Komanwel nanti, Daybell akan bermain dalam kelas enam hingga 10.

"Ia satu kelebihan kepada saya memandangkan saya hanya akan beraksi dalam kelas 10.

"Cuma, saya perlu kekal fokus pada hari pertandingan nanti," katanya lagi.