Atlet berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, menyifatkan penamaan velodrom di Dungun sempena namanya menjadi suntikan semangat yang penting sebelum mengharungi cabaran dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Bagi Azizulhasni, upacara penamaan veledrom itu yang berlangsung semalam ketika dia berlepas ke Gold Coast adalah tepat pada masanya.

Atlet kelahiran Dungun itu turut menyifatkannya sebagai motivasi penting dalam misi meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kebetulan, penerbangan saya dijadualkan pada hari ini (Khamis) dan pengumuman itu dilakukan pada hari yang sama. Ia menjadi bekalan buat perjuangan saya di Gold Coast nanti," katanya.

Azizulhasni turut optimis dia akan cepat menyesuaikan diri di Gold Coast hasil daripada sesi latihan di Melbourne, sebelum ini.

Dalam masa sama, seorang lagi atlet berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sharom, turut bertekad memberi cabaran kuat dalam acara keirin bersama Azizulhasni di Gold Coast.

"Saya dan Azizulhasni sentiasa menyokong satu sama lain, jadi kehadirannya membuatkan saya lebih bersemangat.

"Daripada segi prestasi, saya rasa kami sudah bersedia," kata Shah Firdaus.