Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley, mendedahkan bahawa Azizulhasni Awang telah memperoleh lampu hijau untuk beraksi dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 susulan isu kesihatan dan kecergasan.

Beasley, bagaimanapun, merayu agar Malaysia tidak meletakkan tekanan tinggi kepada anak buahnya itu.

Awal 2018 menjadi ujian besar buat Azizulhasni apabila jangkitan virus membelenggu prestasinya.

Masalah itu turut meragut peluangnya untuk mempertahankan gelaran juara dunia keirin.

Sehingga hari ini, Azizulhasni terpaksa menjalani rawatan yang dipantau oleh pegawai di Institut Sukan Negara (ISN).

"Saya sebenarnya memilih untuk tidak membawa Azizulhasni ke Gold Coast kerana keadaannya. Tetapi keinginannya untuk beraksi untuk Malaysia sangat tinggi," kata Beasley.

Azizulhasni berpandangan kempen Sukan Komanwel Gold Coast tidak bersifat pemburuan gemilang peribadi.

Peluang untuk membantu rakan sepasukan, terutama Shah Firdaus Sahrom, dalam saingan keirin akan dimanfaatkannya sebaik mungkin.

"Saya akan berjuang sebagai satu pasukan dan berharap untuk membawa pulang pingat untuk Malaysia," kata Azizulhasni.

Kepincangan skuad trek yang tidak menyasarkan pingat di Gold Coast, bagaimanapun, bukan alasan untuk tidak memberikan segala-galanya.

Ini sentimen yang dibawa Shah Firdaus yang tidak lagi boleh terus berpaut kepada Azizulhasni.

"Saya menyedari beraksi di Gold Coast bukan sekadar mengambil bahagian tetapi berusaha untuk mencipta kejayaan untuk negara," katanya.