Selain atlet normal, kelibat atlet para negara juga bakal mencuri tumpuan dalam Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan.

Membabitkan seramai tujuh atlet setakat ini, skuad renang para adalah antara yang disandarkan harapan untuk kilauan pingat dalam temasya kali ini.

Sukan Komanwel edisi ke-21 ini akan menguji kekuatan kontinjen negara apabila jumlah kutipan pingat keseluruhan turut membabitkan sukan para.

Malaysia menghantar tujuh atlet dan seorang pilot berbasikal bagi lima jenis sukan dan renang para antara yang bakal mencuri tumpuan.

Ia susulan aksi cemerlang perenang negara, Carmen Lim, dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur tahun lalu menerusi kejayaan merangkul emas.

Meskipun Sukan Komanwel adalah pentas berbeza, namun Carmen yang kudung tangan kiri sejak lahir tampak mampu membuat kejutan di Gold Coast nanti.

"Sasaran saya adalah mara ke final selepas tidak meletakkan harapan untuk ke Sukan Komanwel. Saya sangat teruja untuk bersaing di Gold Coast," katanya.

"Saya berharap segalanya membuahkan hasil."

Dalam temasya Para KL2017, Carmen mengungguli acara 50 meter gaya bebas S8 (kecacatan anggota) dengan catatan 36.48 saat untuk memecah rekod miliknya sendiri.

Turut akan membawa cabaran negara di Gold Coast ialah Ting Jin Ping yang akan membuat penampilan sulung dalam Sukan Komanwel.

"Saya berharap untuk mencipta kejutan dengan meraih pingat emas di Gold Coast," kata Jin Ping.

Bagaimanapun, skuad renang para negara tampak merasai ketiadaan perenang sensasi, James Wong, yang ditolak penyertaanya oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) walaupun berjaya melepasi had kelayakan minimum ke temasya itu.

Kali terakhir sukan renang para dipertandingkan dalam Sukan Komanwel adalah pada edisi 2010 New Delhi yang menyaksikan wakil negara sekadar layak ke final menerusi Fraidden Dawan.