Pengalaman beraksi dan meraih pingat gangsa dalam Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, diharapkan dapat membantu memberi keyakinan kepada gimnas negara, Amy Kwan Dict Weng, untuk menampilkan aksi lebih baik dalam temasya di Gold Coast, bulan depan.

Atlet berusia 23 tahun itu menetapkan sasaran untuk merealisasikan impian skuad gimrama negara yang berhasrat membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam acara berpasukan.

"Seperti jurulatih (Lidia Legotina) sasarkan, saya bersedia beraksi dan bawa pulang pingat emas bagi acara berpasukan.

"Saya juga mahu perbaiki pencapaian skuad negara di Glasgow selain memperbaiki pencapaian peribadi dalam temasya itu empat tahun lepas.

"Saya harap dapat beraksi dengan lebih baik dan konsisten dalam kesemua acara melibatkan gelung, reben, bola, belantan dan berpasukan," katanya dalam sidang media Program Podium di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

Amy, yang juga pemenang dua pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), berkata tiada rutin baru akan digunakan di Gold Coast, namun ada sedikit pembaharuan berbanding aksi yang diperagakan ketika KL2017.

Atlet kelahiran Selangor itu berkata berdasarkan kepada Kejohanan Gimrama Antarabangsa Piala Aphrodite Ke-4 di Greece minggu lalu, pasukan lawan yang bakal memberi saingan sengit kepada gimnas negara adalah Kanada, Cyprus dan Wales.

Sementara itu, Izzah Amzan, 18, yang bakal membuat penampilan sulung dalam Sukan Komanwel 2018, berkata dia tidak terlalu tertekan, sebaliknya berasa teruja untuk mempamerkan aksi terbaiknya dalam temasya itu.

"Saya baru balik dari Greece dan untuk aksi di Gold Coast berdasarkan kepada prestasi di Greece, saya rasa saya perlu perbaiki teknik dan rutin agar lebih baik dan konsisten.

"Saya mahu lakukan rutin dengan kemas tanpa sebarang kesilapan yang boleh menjejaskan kutipan mata dan saya mahu beraksi tanpa tekanan dalam Sukan Komanwel,” kata Izzah sambil berazam mahu membanggakan kontinjen negara.

-- BERNAMA