Atlet pecut 200 meter para negara, Afiq Ali Hanafiah, memikul beban untuk menghadirkan pingat pertama Sukan Komanwel bagi saingan olahraga selepas rakan senegara, Ahmad Solihim Mohd Noor, tidak tersenarai pada saat-saat akhir ke Sukan Komanwel 2018.

Ketiadaan Solihim secara jelas membawa maksud tanggungjawab menyerlah di Gold Coast tergalas di bahu Afiq.

Afiq, bagaimanapun, tidak terkesan dengan perkembangan terbaru membabitkan Solihim, malah menegaskan dia kini berada di tahap terbaik untuk menyerlah di Gold Coast bulan depan.

"Saya bertanggungjawab memenuhi kehendak jurulatih untuk membawa pulang pingat dalam acara olahraga," katanya.

Tiada sebarang pendedahan di luar negara, Afiq masih melihat perkembangan prestasinya positif apabila memilih kejohanan terbuka dalam negara membabitkan atlet normal untuk bersaing.

"Selepas ini saya akan menyertai kejohanan bersama atlet normal dan saingan di sini memadai untuk menghadapi saingan di Gold Coast."

Afiq nekad mencipta kejutan, bukan hanya untuk memperbaiki catatan peribadi, malah menyasarkan kilauan pingat buat kali pertama daripada atlet para.