TERENGGANU 4 KL CITY FC 2

Jaringan Addli Che Husin lima saat selepas sepak mula gagal membantu KL City FC yang tumpas 2-4 kepada Terengganu dalam aksi Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), hari ini.


Ketua pasukan KL City FC itu membuat lambungan dari tengah gelanggang yang menewaskan penjaga gol, Zikry Aiman Zamri, untuk mengejutkan kem tuan rumah.

Begitupun, Terengganu bangkit bermula dengan gol penyamaan Azlan Nasti Azwar yang menolak masuk hantaran pendek Amirrul Izzad Adang pada minit ke-14.

Lima minit kemudian, Terengganu memperoleh jaringan kedua menerusi Sirhan Aiman Saifulbahrum dan kedudukan 2-1 kekal sehingga rehat.

Usaha KL City FC mengikat kedudukan tidak berhasil. Sepakan bebas Qaiser Heshaam Abd Kadir dan Fawzul Hadzir Mohd pada minit ke-22 turut gagal menemui sasaran.

Gol ketiga Terengganu kemudian hadir pada minit ke-27 apabila Alif Mat Amin menghukum hantaran kurang cermat pemain lawan. K. Jaya Prakashrao.

Penjaring terbanyak Terengganu, Akil Khalis Adli Khairuz (m-30), menambah duka pelawat dengan menyambung sepakan percuma Amirrul, sekali gus menjadikan kedudukan 4-1.

KL City FC merapatkan kedudukan pada minit ke-34 melalui tolakan T. Dharmmesh, namun gol tersebut sudah terlewat untuk mengubah nasib pasukannya.

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)