Pemain ranking ke-13 dunia, David Goffin, menarik diri daripada kejohanan Wimbledon, bulan depan, setelah mengalami kecederaan buku lali.

Wakil Belgium itu menyaksikan kempen di Terbuka Perancis berakhir dalam pusingan ketiga ketika berdepan Horacio Zeballos, awal bulan ini.

Goffin -- pilihan ke-10 di Paris -- sedang dalam perjalanan untuk memenangi set pertama sebelum mengalami kecederaan itu.

Pemain berusia 26 tahun itu berlari ke belakang gelanggang untuk cuba membalas pukulan Zeballos sebelum kakinya tersadung lalu mencetuskan kecederaan.

Dia bagaimana berharap mampu beraksi di gelanggang rumput Wimbledon sebelum mengesahkan terpaksa melupakan kejohanan itu.

"Saya sangat sedih dan kecewa kerana tidak akan beraksi di Wimbledon tahun ini," katanya di laman sosial Twitter miliknya.

"Proses pemulihan berjalan dengan baik tetapi doktor mengesahkan saya tidak sempat kembali.

"Saya mahu pulih 100 peratus. Saya tidak sabar untuk kembali!"

Dalam dua edisi Wimbledon sebelum ini, Goffin kecundang dalam pusingan keempat, tewas kepada Stan Wawrinka (2015) dan Milos Raonic, tahun lalu.