"Saya seperti mahu menangis," demikian luahan ketua jurulatih gimnastik negara, Ng Shu Liang, sejurus menyaksikan barisan anak buahnya meraih pingat perak malam tadi, sekaligus menamatkan kemarau 10 tahun tanpa pingat dalam Sukan SEA.

Skuad gimnastik lelaki negara akhirnya menghadirkan pingat selepas kali terakhir melakukannya di Nakhon Ratchasima (Korat) Thailand pada 2007.

Meskipun tidak mampu menghadirkan pingat emas -- yang berjaya dipertahankan Vietnam -- Shu Liang tetap berbangga dengan persembahan atlet negara.

"Pingat perak sangat bererti buat kami untuk melangkah satu tapak lagi ke hadapan.

"Saya sangat bangga dengan usaha pasukan saya.

"Saya seperti mahu menangis.

"Walaupun tewas kepada Vietnam, sebagai jurulatih, saya sangat gembira," jelas Shu Liang.

Aksi lambat panas Malaysia bermula dengan senaman lantai, kuda berpelana dan kemudian melombol menjejaskan kutipan mata.

Bagaimanapun, pujian wajar dilontarkan kerana mereka menamatkan saingan berpasukan dengan mantap, terutama menerusi disiplin palang sejajar dan palang tinggi.

Vietnam -- yang beraksi selepas skuad negara -- memanfaatkan peluang yang ada untuk menang dengan kelebihan 13.5 mata dengan catatan 319.050 mata.

Sementara itu, gimnas negara, Jeremiah Loo, turut mengakui berasa sedih susulan terlepas emas.

"Sebenarnya, kami menjangkakan emas, jadi kami berasa agak sedih," kata Jeremiah.

Seorang lagi atlet, Chau Jern Rong, turut akur dengan kekalahan kepada Vietnam.

"Nak menangis tetapi tiada air mata. Kami tewas kepada pasukan pilihan, Vietnam.

"Lagipun, mereka beraksi cemerlang hari ini tetapi dalam masa sama, kami telah memberi saingan sengit," ujar Jern Rong.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.