Gimnas lelaki remaja negara meletakkan penanda aras apabila memenangi satu pingat emas dan satu perak dalam edisi pertama Kejohanan Gimnastik Piala Remaja Asia di Mongolia.

Saingan yang berakhir 15 Jun lalu itu menyaksikan Ng Chun Chen meraih emas dalam saingan kekuda berpelana manakala Lukman Al Hafiz Zulfa meraih perak dalam aparatus palang sejajar.

Bagi Chun Chen sendiri, kejayaan itu di luar jangkaan, apatah lagi aparatus kekuda berpelana bukan kepakarannya.

"Saya agak gembira sebab memenangi medal dalam penyertaan dalam kejohanan besar.

"Sebelum beraksi, keyakinan saya agak goyah memandangkan ini adalah kejohanan besar," katanya.

Sementara itu, jurulatih negara, Ng Shu Liang, berasakan pencapaian tersebut wajar dijadikan permulaan kepada program yang lebih agresif buat bakat remaja negara.

Seperti skuad senior, penyertaan skuad remaja ke aksi kompetitif juga terbatas.

"Skuad kali ini beraksi bagus dalam Piala Remaja Asia di Mongolia.

"Ia satu pencapaian yang baik memandangkan tidak banyak kejohanan yang boleh disertai atlet remaja," kata Shu Liang.