Pelumba Dimension Data, Ryan Gibbons, mempertahankan jersi kuning untuk muncul juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) selepas tamat peringkat kelapan dari Setiawangsa ke Putrajaya sejauh 121km, hari ini.

"Saya sangat gembira, ini pertama kali saya berlumba di sini," kata Gibbons. "Peminat-peminat di sini cukup bagus dan banyak tempat-tempat menarik.

"Penganjurannya juga berjalan lancar. Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan saya dan sangat gembira kerana kami dapat merangkul jersi biru dan kuning."

Seramai 97 pelumba memulakan peringkat terakhir dengan harapan wakil tempatan dapat menaiki podium.

Beberapa pelumba melakukan pemecahan awal, termasuk membabitkan pelumba tempatan, Loh Sea Keong, yang mewakili skuad kebangsaan Thailand pada kilometer keempat.

Begitupun, peloton berjaya menghambat yang menyaksikan dua zon pendakian pertama ditakluki pelumba luar negara, masing-masing di pusat pemerhatian dan Sungai Tekali.

Selepas itu, beberapa pelumba sekali lagi melakukan pemecahan, termasuk Gibbons.

Peluang itu digunakan Gibbons untuk menakluki zon pecutan Sungai Lalang, Semenyih dan Putrajaya.

Memasuki kilometer terakhir, kumpulan besar pelumba mula berasak-asak sebelum Gibbons melintasi garisan penamat selaku juara dengan catatan 2 jam 39 minit.

Kejayaan itu menyaksikan Gibbons muncul juara keseluruhan selain meraih jersi biru, raja pecut.

Kedudukan pelumba terbaik Malaysia menjadi milik wakil Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Shahrul Mat Amin, dengan menduduki tangga ke-29 keseluruhan.