Demi tuntutan keluarga, Peter Genever terpaksa melepaskan tugas ketua jurulatih skuad skuasy negara meskipun ia keputusan yang menyeksa emosinya.

Kempen Terbuka Remaja British 2019 yang berakhir Sabtu lalu menjadi tugasan terakhir Genever bersama Malaysia selepas tujuh tahun mencurah bakti bersama pasukan kebangsaan.

Genever menyerahkan notis peletakan jawatan kepada Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) semalam.

Ia dilihat sebagai kehilangan besar buat kem kebangsaan memandangkan ramai bakat berpotensi lahir di bawah program Genever sebelum ini.

Ia termasuk bakat muda berpengaruh seperti S. Sivasangari dan Ng Eain Yow.

"Ia keputusan yang sukar.

"Saya mempunyai hubungan baik dengan pemain negara dan SRAM.

"Selepas berusaha keras melahirkan barisan pemain yang berbakat besar, ia keputusan yang amat berat untuk saya lakukan.

"Apa yang paling penting buat masa ini adalah keluarga saya," katanya.

Genever juga mengesahkan dia akan kembali ke negara kelahirannya, England, tanpa sebarang tawaran kerja lain.

Dia juga berasakan keputusan itu dibuat ketika skuad kebangsaan dalam keadaan baik untuk terus berkembang.

"Mereka mampu untuk lebih berkembang.

"Saya meninggalkan mereka pada waktu terbaik selepas memperoleh pelbagai kejayaan.

"Skuad negara ketika ini mempunyai masa depan yang amat cerah," tambahnya.