Pemain golf sensasi negara, Gavin Kyle Green, kini hanya mahu memperbaiki aksinya untuk terus kekal menjadi pendahulu Order of Merit Jelajah Asia bagi beraksi dalam Kejohanan Dunia di Shanghai, China, 26 Oktober ini.

Walaupun ketika ini menjadi pendahulu Order of Merit Jelajah Asia, ia masih lagi bukan aksi terbaik buat Gavin dalam saingan CIMB Classic untuknya berada dalam kelompok 61 terbaik.

Bagaimanapun, kesilapan yang ada perlu diperbaiki segera dengan mengharapkan tiada pemain lain dapat mengatasi kedudukan Jelajah Asia untuk Gavin sekurang-kurangnya berada dalam kelompok empat terbaik, sekaligus membolehkannya beraksi dalam Kejohanan Dunia.

Usaha pemain kebangsaan itu bakal mendapat tentangan wakil dari Thailand seperti Jazz Janewattananond dan Phachara Khongwatmai yang semakin agresif untuk cuba mencabar kedudukannya, ketika ini.

“Ia bukan pukulan yang baik walaupun mencubanya beberapa kali.

“Saya akan tampil dengan aksi lebih baik selepas ini untuk mempertahankan kedudukan,” ujar Gavin.

Sementara itu, seorang lagi pemain kebangsaan, Danny Chia, menganggap saingan pada edisi ini begitu sukar untuknya mendapatkan rentak apabila hanya menjadi pemain terbaik dalam pusingan pertama.

Keadaan di lapangan yang tidak begitu disukai juga menjadi salah satu sebab Danny gagal mempamerkan aksi terbaik

“Saya amat gemuruh pada hari pertama tetapi secara keseluruhan, segala-galanya berjalan lancar, cuma saya tidak dapat melakukan birdie dengan baik,” kata Danny.